Pesawat “gunship" Persenjataan Perang Vietnam

AC-47 Spooky

AC-47

Dalam Perang Vietnam, Tentera Udara Amerika mengubah suai pesawat C-47 Skytrain sebagai platform senjata. Pesawat ini dipasangkan secara percubaan dengan 3 pucuk minigun GAU-17 yang boleh menembak peluru 7.62mm pada kadar 2,000 hingga 4,000 butir peluru per minit. Senjata ini dikawal dari jarak jauh oleh juruterbang ataupun juru tembak yang ditentukan. Pesawat ini juga dipasangkan 48 butir lampu suar Mk 24 membolehkan pesawat ini menerangi kawasan sasaran untuk membuat serangan. AC-47 Spooky amat berkesan membantu kumpulan askar sedang bertempur (troops in contact). AC-47 Spooky lebih dikenali dengan nama “Puff The Magic Dragon” sempena lagu popular ketika itu. Walaupun AC-47 Spooky berjaya, ia mempunyai kelemahan kerana terbang pada kelajuan rendah dan tidak mempunyai kuasa enjin yang mencukupi.

Kejayaan AC-47 Spooky sebagai platform senjata mendorong Tentera Udara Amerika mengubah suai pesawat lebih besar. AC-119G Shadow dan Stinger dibangunkan daripada kerangka pesawat C-119 Flying Boxcar dan pasukan simpanan mempunyai bilangan kerangka yang banyak. 26 AC-119G Shadow diubah suai, dilengkapkan dengan 4 laras minigun GAU-17, lampu suar dan digunakan untuk menggantikan AC-47 Spooky dalam peranan membantu askar yang sedang bertempur. 26 buah AC-119K Stinger dibina dengan 2 pucuk meriam 20 mm jenis M61 untuk kegunaan khusus memusnahkan trak dan lori di Laluan Ho Chi Minh.

AC-119G Shadow dan AC-119K Stinger

AC-119 Stinger

Fairchild AC-119G Shadow dan AC-119K Stinger dicipta semasa Perang Vietnam untuk menggantikan pesawat penyerang AC-47 Spooky dan untuk menyokong pesawat AC-130 Spectre yang baru memasuki perkhidmatan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat. Program pembinaan pesawat AC-119G dan AC-119K sebenarnya dibuat selepas pembinaan pesawat AC-130 Spectre dan bukan sebaliknya.

Menjelang akhir tahun 1967, penggunaan pesawat senjata AC-47 Spooky amat berjaya, tetapi Tentera Udara Amerika Syarikat merasakan pesawat AC-47 Spooky terlalu kecil. Mereka merancangkan penggunaan pesawat lebih besar. Pesawat AC-130 Spectre amat berjaya tetapi kos operasinya tinggi dan kos kerangkanya mahal. AC-130 Spectre ditumpukan kegunaannya di laluanHo Chi Minh.

Sebaliknya, Tentera Udara Amerika Syarikat mempunyai banyak kerangka C-119 kerana pesawat ini tidak lagi berkhidmat aktif dan diletakkan dalam simpanan. Di bawah projek Project Gunship III, 26 buah pesawat C-119G dibina sebagai pesawat AC-119G dan 26 buah pesawat C-119K diubahsuai menjadi pesawat AC-119K (Model AC-119K mempunyai tambahan 2 pucuk meriam M61 20mm). Menjelang bulan November 1968, pesawat-pesawat ini dihantar ke Vietnam menyertai Kumpulan Operasi Khas ke-14 (14th Special Operations Wing) terdiri dari Skuadron Ke-17 dengan AC-119G dan Skuadron Ke-18 dengan C-119K. Pesawat ini berkhidmat sehingga tahun 1971 apabila 14th SOW dibubarkan.

AC-130 Spectre

Melihatkan kejayaan AC-47 Spooky, Tentera Udara Amerika mahukan kombinasi persenjataan yang lebih berat dengan kerangka yang lebih besar untuk membolehkan pesawat berlegar lama di kawasan tempur. Lebih daripada 10,000 trak dan lori dimusnahkan di sepanjang Laluan Ho Chi Minh. Pesawat AC-130 Spectre dilengkapkan dengan 4 laras minigun GAU-17, dan 4 laras meriam. Pesawat ini juga mempunyai lampu cari dan pengimbas infra merah. 6 buah AC-130 Spectre ditembak jatuh semasa perang Vietnam. Versi AC-130 yang dinaik taraf masih digunakan pada masa ini.

Rujukan

WikiPedia: Persenjataan Perang Vietnam http://psysim.www7.50megs.com/dustkelly.htm http://www.britains-smallwars.com/Vietnam/SP.htm http://www.danshistory.com/vietnam.shtml#kia http://www.historynet.com/magazines/vietnam/303011... http://www.imdb.com/title/tt0079652/ http://www.nostalgiacentral.com/movies/oddangrysho... http://keepourcountryfree.tripod.com/id18.html http://www.diggerhistory.info/pages-air-support/vi... http://www.vectorsite.net/avcrus_2.html#m3 http://www.globalsecurity.org/military/systems/air...